KUALA LUMPUR – Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) berjaya menarik kira-kira 415,000 pengunjung serta menjana anggaran pulangan ekonomi sebanyak RM392.33 juta.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Malaysia merekodkan 17.5 juta pelawat, meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, selain Kuala Lumpur, festival itu turut dianjurkan di Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi dengan kos keseluruhan RM15 juta, melibatkan sumbangan kerajaan dan sektor swasta sebanyak RM15 juta.
“Setiap RM1 yang dibelanjakan oleh kerajaan berjaya menghasilkan pulangan ekonomi sekitar RM36.
“Jika festival ini dikenakan bayaran masuk sekitar RM300 seorang, kerajaan berpotensi mengutip sekurang-kurangnya RM75 juta hasil jualan tiket. Kalau kutip RM200, kita dapat RM50 juta.
“Namun kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada rakyat sempena Hari Pekerja di samping memperluaskan penyertaan masyarakat,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan kepada Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta MOTAC menjelaskan bagaimana penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di bawah Kempen VM2026 menyumbang kepada pengukuhan pelancongan.
King Sing berkata, festival tersebut menarik kira-kira 150,000 pengunjung domestik dan 100,000 pelancong asing dari China, Jepun, Bangladesh, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain, dengan anggaran penjanaan ekonomi sebanyak RM320.43 juta.
Katanya, penganjuran serentak di enam negeri lain pula menarik kira-kira 165,000 pengunjung dan menjana pulangan ekonomi sekitar RM71.9 juta.
Menurut beliau, Rain Rave Water Music Festival 2026 turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, hospitaliti dan perusahaan kecil.
“Pusat beli-belah Lot 10 merekodkan peningkatan pengunjung sebanyak 40 peratus dan jualan meningkat 45 peratus, manakala Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus.
“Selain itu, sebanyak 63 gerai makanan dan 15 gerai kraf tangan dari beberapa negeri mencatat jualan langsung berjumlah RM388,690, manakala seorang peniaga minuman dari Kelantan merekodkan peningkatan jualan daripada sekitar RM4,600 pada hari pertama kepada hampir RM10,000 pada hari ketiga festival,” katanya.
Tambah King Sing, sebanyak 80 hotel di seluruh negara menawarkan diskaun penginapan antara 30 hingga 50 peratus sepanjang festival berlangsung, dengan kadar penghunian hotel terutama di Kuala Lumpur dan Bukit Bintang hampir mencecah 100 peratus.
Beliau berkata, kementerian turut memastikan keseimbangan antara elemen hiburan antarabangsa dan identiti tempatan melalui penganjuran persembahan muzik tradisional, pertunjukan fesyen budaya Malaysia, permainan tradisional, makanan warisan serta penglibatan penggiat seni tempatan.
“Melihat kepada sambutan yang amat baik serta impak ekonomi yang ketara, kementerian menerima maklum balas positif daripada pemain industri dan peniaga tempatan agar festival ini diteruskan sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














