KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,000 unit lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar akan dipasang di 32 lokasi ‘hot spot’ di beberapa lebuh raya di seluruh negara bermula hujung bulan ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam memperkukuh keselamatan lebuh raya, sekali gus melindungi nyawa pengguna dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jelas beliau, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan tersebut dengan pembiayaan sepenuhnya melalui peruntukan dalaman Lembaga Lebuh Raya (LLM).
“Kerja-kerja pemasangan ini dijadualkan mengambil masa lima bulan bermula 30 Jun depan sejurus selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2026.
“Bagi tujuan tersebut, empat pakej projek akan ditawarkan melalui proses tender terbuka yang dilaksanakan oleh LLM,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan SST di sini hari ini.
Antara lebuh raya terlibat dengan projek pemasangan lampu LED solar itu termasuk Lebuh Raya Utara Selatan arah utara (antara Persimpangan Bertingkat Sungai
Buloh dan Persimpangan Bertingkat Gurun) sebanyak 1,005 tiang, Lebuh Raya Seremban – Port Dickson dan Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan sebanyak 567 tiang.
Turut akan dipasang adalah di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan (antara Persimpangan Bertingkat Ayer Keroh dan Persimpangan Bertingkat Yong
Peng (Utara) 738 tiang.
Projek itu turut melibatkan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (antara Karak dan Bentong); Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa melibatkan 690 tiang lampu.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pelaksanaan projek itu dijangka membawa manfaat yang besar kepada pengguna lebuh raya, khususnya melalui peningkatan tahap pencahayaan dan kebolehlihatan pemandu di lokasi-lokasi berisiko tinggi.
“Pada masa yang sama, ia merupakan langkah mitigasi yang proaktif bagi mengurangkan risiko kemalangan serta mewujudkan persekitaran perjalanan yang lebih selamat, selesa dan meyakinkan kepada pengguna,” katanya.
Pada masa sama, Alexander turut mengingatkan kontraktor yang dilantik supaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komitmen,
profesionalisme dan integriti agar projek itu dapat disiapkan mengikut spesifikasi, kualiti serta tempoh yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














