fbpx
Walk of Honour yang dilaksanakan para petugas di Hospital Sungai Buloh bagi memberikan penghargaan kepada Allahyarham Normah (gambar kecil) sebelum pembedahan pemindahan organ dijalankan.

Keluarga tunai hasrat akhir bekas pendidik selamatkan lima nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat murni seorang bekas pendidik untuk terus berbakti kepada masyarakat akhirnya menjadi kenyataan apabila keluarga menunaikan ikrarnya untuk mendermakan organ dan tisu selepas disahkan mengalami kematian otak.

Allahyarham Normah, 72, yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu, sebelum ini telah berikrar sebagai penderma organ dan hasrat tersebut ditunaikan oleh ahli keluarganya pada keesokan harinya.

Menerusi satu hantaran di media sosial Hospital Sungai Buloh, pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan jasa sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa sepanjang hayatnya, malah terus menyumbang kepada insan lain melalui pendermaan organ dan tisu.

“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.

“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” tulis hantaran itu.

Menurut Hospital Sungai Buloh, kes pemerolehan organ tersebut turut mencipta sejarah baharu menerusi kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjayakan proses pendermaan organ.

Operasi berkenaan membabitkan kerjasama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari Universiti Malaya (UM) bersama beberapa pasukan pakar dari Hospital Sungai Buloh yang bertungkus-lumus memastikan keseluruhan prosedur berjalan lancar.

Pasukan yang terlibat ialah Pasukan Bedah Hepatobiliari UM yang diketuai Prof. Dr. Koh Peng Soon, Pasukan Bedah Urologi diketuai Dr. Mohd. Najib Aziz dan Pasukan Bedah Plastik diketuai  Dr. Law Teck Ree.

Selain itu pembedahan turut melibatkan Pasukan Bedah Oftalmologi diketuai Dr. Chandra, selain wakil Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr. Rabiatul serta Unit Derma Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh yang diketuai Dr. Natasha.

Dalam hantaran yang sama Hospital Sungai Buloh turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga Allahyarham atas keikhlasan mereka menghormati ikrar pendermaan organ yang dibuat ketika hayatnya.

“Jutaan terima kasih atas kurniaan yang tidak ternilai ini. Semoga segala budi, jasa dan pengorbanan arwah diangkat darjatnya di sisi Pencipta. Beliau telah memberi sinar baharu ketika dijemput kembali ke rahmatullah,” katanya.

Dalam suasana penuh hiba, turut dimuat naik satu hantaran penghargaan memaparkan video ‘Walk of Honour’ iaitu penghormatan terakhir yang diberikan kepada penderma organ.

Di dalam video kelihatan petugas kesihatan dan pasukan perubatan berdiri di kiri dan kanan laluan sambil mengiringi perjalanan terakhir menuju ke dewan bedah.

Upacara simbolik itu menjadi tanda penghargaan atas pengorbanan seorang penderma yang, walaupun telah pergi, masih mampu menghidupkan harapan baharu buat insan lain.

Hospital dalam masa yang sama turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan segala amal kebajikannya menjadi asbab manfaat berpanjangan kepada mereka yang menerima organ dan tisu berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN