JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Indramayu, wilayah Jawa Barat terkejut menemui dua ekor tedung gergasi di dapur semasa mereka sedang memasak hidangan untuk majlis perkahwinan, lapor laman berita Kompas.
Kejadian berlaku di Desa Lohbener baru-baru ini.
Ketua Pemadam Kebakaran Indramayu, Jajat Wibisino berkata, pihaknya menerima laporan sekitar pukul 2.45 pagi (waktu tempatan) dan mengerahkan tujuh anggota bomba ke tempat kejadian.
“Ular tedung itu masuk ke dalam dapur di mana orang ramai sedang masak untuk acara besar. Terdapat dua ekor ular tedung dan ia agak besar, sekitar satu hingga dua meter panjang,” kata Jajat.
Difahamkan, majlis perkahwinan itu diadakan di pekarangan rumah.
Menurut pemilik rumah, reptilia tersebut dipercayai muncul dari pekarangan rumah sebelum menyusup masuk ke dalam dapur.
“Kedua-dua ular berjaya ditangkap pada pukul 3.25 pagi (waktu tempatan). Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba Indramayu,” tambah Jajat.














