ATLANTA – Sepanyol menutup mulut pengkritik selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Arab Saudi pada aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Atlanta awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Mikel Oyarzabal selain masing-masing satu jaringan Lamine Yamal dan gol sendiri Hassan Altambakti memastikan skuad La Roja mencatat kemenangan pertama pada edisi kali ini.
Jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente membidas kritikan yang dilemparkan terhadap pemain-pemain pasukan itu, terutamanya selepas mereka sekadar seri tanpa jaringan pada aksi sulung menentang Cape Verde.
“Apabila ada orang mempertikaikan kerja anda, hanya manusia yang bermaruah dan gigih sahaja akan membuktikan siapa yang betul atau salah. Kami jadikan kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk tampilkan aksi terbaik.
“Bagi saya, sesiapa yang ragu dengan kemampuan pasukan ini adalah satu perkara tidak masuk akal. Pasukan ini tidak pernah tewas dalam 33 perlawanan berturut-turut, jadi jangan cuba untuk mempertikaikan kami,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji peranan dimainkan Oyarzabal dalam pasukan tersebut biarpun namanya tidak sebesar Yamal mahupun Rodri selepas dia menjadi tunjang kemenangan Sepanyol.
“Sesiapa sahaja yang faham mengenai bola sepak pasti akan memandang tinggi Oyarzabal kerana dia memberikan impak cukup besar kepada pasukan. Dia mampu mencipta sejarah bersama Sepanyol,” ujar De La Fuente. – AGENSI














