NEW YORK – Kem Senegal berdepan situasi tidak menentu menjelang aksi penting menentang Norway selepas beberapa isu dalaman membabitkan pembayaran bonus, kemudahan pasukan dan pengurusan skuad mula mencetuskan kebimbangan.
Kekalahan 1-3 kepada Perancis pada aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2026 bukan sahaja meletakkan Lions of Teranga dalam tekanan, malah mendakwa pasukan itu kini berdepan pelbagai masalah di luar padang.
Menurut laporan, beberapa pemain dikatakan mula tidak berpuas hati apabila bayaran bonus yang dijanjikan masih belum diterima meskipun Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) sudah menerima dana daripada kejayaan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) serta insentif kelayakan Piala Dunia.
Laporan sama turut mendakwa pemain tidak berpuas hati dengan hotel penginapan yang disediakan kerana dianggap tidak setaraf dengan status Senegal selaku juara Afrika.
Selain itu, skuad kendalian Pape Thiaw juga dikatakan tidak membawa tukang masak rasmi pasukan ke Amerika Syarikat sehingga menyebabkan beberapa pemain terpaksa mendapatkan makanan sendiri di luar kem latihan.
Keadaan itu menjadi lebih hangat apabila terdapat dakwaan bahawa sebahagian pegawai persekutuan membawa ahli keluarga dan kenalan mereka ke Amerika Syarikat dengan kos ditanggung badan induk tersebut.
Lebih membimbangkan, laporan berkenaan turut mendakwa Thiaw masih belum menerima gaji selama lima bulan selain kontraknya bersama pasukan kebangsaan dikatakan sudah tamat tanpa sebarang pembaharuan rasmi.
Bagaimanapun, kem Senegal masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut ketika mereka kini fokus menghadapi Norway dalam aksi kedua kumpulan yang dianggap penentu peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik. – AGENSI














