fbpx
JEPUN membelasah Tunisia 4-0 dalam aksi Kumpulan F, Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Piala Dunia 2026: Jepun benam Tunisia 4-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONTERREY – Jepun semakin hampir untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas membelasah Tunisia 4-0 dalam aksi Kumpulan F sekali gus menyingkirkan wakil Afrika itu daripada kejohanan, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Jepun mengumpul empat mata, berkongsi mata dan perbezaan jaringan dengan Belanda, manakala Tunisia menjadi pasukan ketiga tersingkir selepas Haiti dan Turkiye.

Lebih manis, perlawanan di Stadium Monterrey itu turut mencipta sejarah sebagai aksi ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia, namun ia ternyata menjadi hari yang ingin dilupakan buat Tunisia.

Jepun memulakan aksi dengan cukup garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Daichi Kamada yang mudah menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk meletakkan pasukan kendalian Hajime Moriyasu di depan.

Tunisia yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Herve Renard, gagal memberikan tentangan bermakna apabila Ayase Ueda menggandakan kelebihan Jepun pada minit ke-31 menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Memasuki babak kedua, Jepun terus menguasai permainan dan jaringan ketiga hadir pada minit ke-69 apabila Junya Ito menyempurnakan hantaran lambung Ueda untuk terus menambah derita lawan.

Ueda kemudian melengkapkan aksi cemerlangnya apabila menjaringkan gol kedua peribadi menerusi tandukan pada minit ke-83 sekali gus memastikan kemenangan besar 4-0 menjadi milik Jepun.

Tunisia yang tewas dalam aksi pembukaan kini sah tersingkir meskipun masih berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus mengakhiri kempen yang mengecewakan buat pasukan Afrika tersebut.

Sebaliknya, Jepun kini berada di landasan terbaik untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik dengan aksi terakhir kumpulan dijangka menentukan kedudukan mereka dalam saingan Kumpulan F. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN