JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan diseru mengembalikan hasil negeri Johor secara lebih munasabah demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat sepertimana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pengerusi Jawantakuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, titah Tuanku Mahkota Ismail, bukan suara seorang pemimpin tetapi suara 4.9 juta rakyat Johor.
“Tidak dapat dinafikan, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion sahaja dipulangkan untuk menampung keperluan hampir lima juta penduduk. Angka ini tidak logik, tidak adil, dan menghina maruah rakyat Johor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Semalam Tuanku Mahkota Ismail bertitah, Kerajaan Negeri Johor perlu mendapat balik 25 atau 30 peratus hasil yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan Johor menguruskan negeri sendiri.
Titah Tuanku, beberapa projek utama seperti pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, belum diluluskan termasuk pembinaan Hospital Pasir Gudang yang tertangguh selama empat tahun yang dibina pada tahun 2018.
Berkenaan dakwaan ‘overclaim’ terhadap projek-projek besar di Johor, Mohd Hairi berkata, tidak perlulah menunjukkan siapa yang bawa atau melaksanakan. – KOSMO! ONLINE









