fbpx

Jangan tertipu pakej badal haji RM500 hingga RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai perlu menyemak kesahihan iklan badal haji bagi mengelakkan tertipu. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga yang tidak munasabah pada ketika ini.

Pihak pengurusan TH ketika dihubungi Kosmo! berkata, saban tahun, isu yang sama sering di­ingatkan kepada orang ramai agar tidak menjadi mangsa pihak yang menjadikan tawaran itu bagi mengaut keuntungan semata-mata.

“TH sendiri pun sudah tidak laksanakan badal haji berikutan pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi.

“Peraturan kerajaan Arab Saudi tidak benarkan TH untuk laksana badal haji atau pungut duit untuk urusan tersebut.

“Di Malaysia, ada pihak yang tetapkan upah badal haji dengan pakej berharga RM500 sehingga RM3,000,” katanya.

Menurutnya lagi, badal haji dibolehkan dalam Islam dan ia bermaksud melaksanakan haji untuk orang yang telah meninggal dunia atau tidak sempat me­nunaikannya, selain mereka yang tidak ada harapan untuk sembuh daripada penyakit.

Tambahnya, mereka yang mengambil pakej itu digesa supaya mengenal pasti latar belakang pelaksana terlebih dahulu kerana terdapat syarat tertentu kerana bukan semua orang boleh melaksanakannya.

Pada masa sama, TH turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji-janji manis pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Jika dijanjikan sijil dan hadiah penyertaan seperti air zam zam dan sebagainya, ia boleh dibeli di mana-mana.

“Tiada pengesahan jelas perkhidmatan itu dapat dilakukan pada musim haji yang dijanjikan,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan segelintir agensi pelancongan haji dan umrah yang menyediakan perkhidmatan badal haji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI