fbpx
Farah menunjukkan antara hidangan signatur di Ammar Kong Chicken Rice, Bangi. – FARIS RUSARIO

Gabungan sajian Cina Muslim dan Borneo di Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik deretan kedai makan yang tumbuh pesat di Bandar Baru Bangi, Selangor, sebuah restoran sederhana di Seksyen 4 Tambahan berjaya mencipta identiti tersendiri menerusi gabungan rasa yang unik.

Dikenali sebagai Ammar Kong Chicken Rice, restoran ini bukan sekadar terkenal dengan sajian nasi ayam, tetapi turut mengangkat gabungan masakan Cina Muslim dan sentuhan cita rasa Borneo yang jarang ditemui dalam satu premis.

Restoran ini diasaskan pasangan Farah Ruslin, 39, yang mengurus operasi harian bersama suaminya Ahmad Zafran Kong Abdullah, 40, selaku pemilik.

Menurut Farah, nama restoran ini diambil sempena anak sulung mereka, Ammar Kong yang kini berusia sembilan tahun.

“Restoran ini dibuka ketika anak kami baru berusia enam bulan, menjadikan perniagaan ini membesar seiring dengan usia Ammar sendiri.

“Kisah itu menjadikan nama restoran ini cukup peribadi dan dekat dengan jiwa keluarga kami,” katanya ketika ditemui CitaRasa di restoran Ammar Kong Chicken Rice, Bangi baru-baru ini.

Tambahnya, apa yang membezakan Ammar Kong Chicken Rice ialah pendekatan sajian yang menggabungkan tradisi masakan Cina Muslim dengan hidangan dari Borneo, khususnya Sarawak.

Walaupun nasi ayam menjadi menu teras, pelanggan yang datang ke sini sebenarnya disajikan pilihan lebih luas yang mencerminkan gabungan dua budaya makanan berbeza.

Dari menu utama sehinggalah pencuci mulut, setiap pilihan menampilkan rasa yang mencampurkan elemen klasik dan warisan tempatan.

Kongsi Farah lagi, antara menu paling mendapat sambutan ialah nasi ayam Hainan dan nasi ayam roasted yang menjadi identiti utama restoran ini.

“Sajian kami menampilkan ayam yang lembut, disediakan dengan teknik tradisional, dipadankan dengan nasi beraroma serta sos cili buatan sendiri menjadikan sajian ini sentiasa menjadi pilihan pelanggan tetap.

“Tidak ketinggalan, nasi claypot yang dimasak panas bersama lauk dan kuah pekat memberi pilihan bagi mereka yang mahukan sajian lebih mengenyangkan,” ujarnya.

Antara seleksi menu pencuci mulut yang menyejukkan tekak pelanggan selepas menikmati hidangan panas.

Selain itu, menu seperti sizzling yee mee menambah variasi kepada konsep restoran ini. Hidangan panas berasap dihidangkan terus di atas pinggan besi, memberikan pengalaman makan yang berbeza.

Ia sesuai dinikmati ketika cuaca hujan atau pada waktu malam, terutama bagi pelanggan yang datang bersama keluarga.

Pendekatan seperti ini menunjukkan restoran tersebut bukan sekadar menjual nasi ayam, sebaliknya membina identiti sebagai restoran keluarga dengan pilihan sajian lengkap.

Sentuhan Borneo pula jelas menerusi aneka mee kolok yang menjadi tarikan utama.

Mi kolok Sarawak, mi kolok kaki ayam, mee kolok wantan goreng, malah variasi sizzling mee kolok menonjolkan rasa asli dari timur Malaysia.

“Kehadiran menu laksa Sarawak Haji Manan turut mengukuhkan identiti Negeri Bumi Kenyalang, memberi peluang pelanggan di Bangi merasai hidangan popular Sarawak tanpa perlu terbang ke Kuching.

“Bagi hidangan sampingan, pelanggan gemar memesan tauhu stim bersama ayam cincang serta kaki ayam yang menjadi antara menu signatur restoran ini,” tambah Farah.

Hidangan sampingan ini menguatkan elemen Cina Muslim, terutama dalam cara penyediaan yang mengekalkan rasa tradisional, namun sesuai dengan selera masyarakat tempatan.

Pilihan pencuci mulut dan minuman turut menyerlah.

Lime jelly dan lai chi kang sering menjadi pilihan pelanggan untuk menyejukkan tekak selepas menikmati hidangan panas.

Menu minuman klasik seperti longan, laici dan teh tiga layer melengkapkan pengalaman makan di sini.

Terletak di No. 36, Jalan 4/11B, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi, restoran ini membuktikan bahawa keunikan tidak semestinya datang daripada konsep mewah.

Kadangkala, sebuah premis sederhana yang lahir daripada usaha pasangan suami isteri dan dinamakan sempena anak sendiri mampu menjadi lokasi yang meninggalkan kenangan kepada pelanggan.

Ammar Kong Chicken Rice bukan sekadar restoran, tetapi kisah keluarga yang diterjemahkan melalui makanan menyatukan rasa Cina Muslim dan Borneo dalam satu meja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN