LELAKI memainkan peranan penting dalam keluarga dan masyarakat yang bertindak sebagai ketua atau pemimpin. Faktor ini didorong oleh kekuatan fizikal lelaki berbanding wanita yang secara umumnya menjadikan mereka pencari nafkah utama keluarga.
Kekuatan tenaga dan daya tahan tinggi ini membolehkan mereka melakukan kerja-kerja berat serta melindungi diri dan keluarga apabila diperlukan. Walaupun dunia sudah berubah dan banyak peranan lelaki sudah diambil wanita, tetapi kita tidak boleh menafikan fitrah lelaki yang lebih kuat.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima lelaki paling kuat di dunia yang berjaya mencipta sejarah masing-masing seperti dilaporkan oleh Men’s Journal.
1- Zydrunas Savickas
DILAHIRKAN di Lithuania pada tahun 1975, Zydrunas Savickas pada pandangan kami adalah orang terkuat sepanjang zaman. Dia memenangi tujuh gelaran Arnold Strongman Classic antara tahun 2003 dan 2014 iaitu satu pertandingan yang menguji kekuatan maksimum. Pada tahun 2005 sahaja, dia memecahkan tiga rekod dunia dalam perjalanannya ke Kejohanan Dunia International Federation of Strength Athletes (IFSA) selain mempertahankannya pada tahun berikutnya. Di kejohanan World’s Strongest Man pula, Savickas atau ‘Big Z’ memenangi tiga kali naib juara dan pada 2009 dia akhirnya meraih gelaran ‘Lelaki Terkuat Dunia’.
Tidak terhenti di situ, dia terus memenangi pelbagai kejohanan yang membuktikannya lelaki paling kuat di dunia. Kuasa legenda Savickas diperkukuh dengan angkat log 227 kilogram (kg), squat 399kg, tekan bangku 285kg dan angkat deadlift 523kg. Kini berusia 50 tahun, lelaki ini berkahwin dua kali, namun tiada zuriat.
2- Mark Henry

DI tangga kedua pula, Mark Henry yang berjaya membolot gelaran bagi kedua-dua acara iaitu angkat berat dan powerlifting superheavyweight Amerika Syarikat (AS) pada masa yang sama.
Bukan itu sahaja, dia juga memenangi Arnold Strongman Classic yang pertama pada tahun 2002 dan memegang jumlah gabungan tertinggi sepanjang masa merentasi lima angkatan. Angkatan terbaiknya dalam kerjaya ialah 1,507kg meliputi lima disiplin.
Lelaki berasal dari AS ini kemudian menukar kerjaya kepada World Wrestling Entertainment (WWE) sebagai ahli gusti selama 20 tahun, dia bergelar Juara Heavyweight Dunia dan Hall of Famer 2018. Bapa dua anak ini kini berusia 55 tahun.
3- Bill Kazmaier

LELAKI dari Amerika Syarikat dengan berat 149kg ini berada dalam kelasnya tersendiri. Bill Kazmaier menguasai arena ‘World’s Strongest Man’ dari tahun 1980 hingga 1982 sehingga penganjur mengharamkannya daripada bertanding pada tahun 1983 untuk mengelakkan pertandingan itu menjadi pertunjukannya seorang diri (a one-man show). Sepanjang kerjayanya, Kazmaier mencipta 40 rekod dunia dan memenangi dua Kejohanan Dunia IPF (International Powerlifting Federation) di samping tiga gelaran Lelaki Terkuat Dunia.
Dia juga merevolusikan pencapaian orang kuat klasik dengan menjadi atlet pertama yang mengangkat kesemua lima batu McGlashen yang mempunyai berat sekitar 90kg hingga 168kg. Bapa kepada dua orang anak ini kini berusia 72 tahun.
4- Paul Anderson

SETERUSNYA, Paul Anderson merupakan antara nama yang paling hangat diperdebatkan dalam sejarah kekuatan. Ada yang memujinya sebagai lelaki terkuat yang pernah wujud di muka bumi. Tidak kurang juga angka legenda yang dikaitkan dengannya.
Squat 544kg yang didakwa berjaya dilakukan olehnya mungkin tidak akan pernah dapat dipastikan sesiapa tetapi Anderson mampu mengangkat 317kg untuk lapan kali ulangan dalam satu pameran yang menyamai rekod dunia. Anderson juga mencipta sejarah memenangi emas pada Kejohanan Dunia 1955 dan emas Olimpik untuk AS dalam acara angkat berat di Melbourne 1956.
5- Vasyl Virastyuk

KELIMA, Vasyl Virastyuk menjadi orang pertama yang memenangi kedua-dua gelaran Orang Terkuat Dunia pada tahun 2004 dan Kejohanan Dunia IFSA pada tahun 2007. Dia juga mengalahkan Zydrunas Savickas untuk merangkul gelaran IFSA tersebut. Virastyuk merupakan contoh konsistensi di peringkat elit dan menamatkan perlumbaan sebagai naib juara di Arnold Strongman Classic selama tiga tahun berturut-turut bermula pada 2005.
Berasal dari Ukraine, Virastyuk dinobatkan sebagai Lelaki Terkuat Ukraine sebanyak tujuh kali. Walaupun bapa kepada lima anak itu sudah bersara, namun kekal sebagai salah seorang tokoh yang paling berjaya dan dihormati dalam sejarah sukan tersebut.














