JERANTUT – Industri durian tempatan kini memasuki episod baharu apabila raja buah musang king mula dijual secara biji tidak lagi berdasarkan kepada timbangan.
Kaedah jualan ini dilihat menggembirakan penggemar raja buah yang sudah pasti dapat menikmati musang king dengan harga yang lebih murah pada masa akan datang
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, musang king yang segar itu mula dijual secara biji di Jerantut dan Lipis dengan harga antara RM5 hingga RM40 sebiji mengikut saiz buah.
Seorang penjual durian, Tan Seng Ong, 42, berkata, dia mula menjual durian tanpa timbangan sejak seminggu lalu selepas buah durian di dusunnya luruh.
“Ketika ini musang king dijualnya dengan harga RM10, RM15, RM20 dan RM30 berdasarkan kepada saiz dan gred buah.
“Setakat ini mendapat permintaan menggalakkan dan setiap hari semua buah yang saya kutip dari dusun habis dijual dan tidak mencukupi.
“Saya mahu beri semua orang dapat makan musang king malah setiap lima biji dibeli saya akan memberikan sebiji lagi percuma,” katanya yang menjual durian di hadapan bengkel motosikalnya, Tan Motor, di Jerantut.
Katanya, buah musang king yang dijual setiap hari adalah baru dikutip dari kebunnya dan dijamin berkualiti.
Sementara itu, seorang peniaga di Lipis yang dikenali sebagai Ah Chin, 45, berkata, dia mengambil inisiatif menjual durian premium jenis musang king pada harga serendah RM5 sebiji bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmatinya.
“Ramai yang teringin makan musang king tetapi harga pasarannya agak mahal. Jadi saya ambil keputusan jual RM5 dan RM10 sebiji mengikut saiz dan gred.
“Kalau buah yang lebih besar, saya jual tiga biji pada harga RM50 bergantung kualiti. Saya tidak terlalu memikirkan keuntungan, sebaliknya mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedainya, Durian Kingdom di Bandar Lipis, semalam.
Selain musang king, dia turut menjual durian premium lain seperti IOI, black thorn, tekka dan durian kampung.
“Semua durian dijual adalah hasil dari kebun sendiri di Tanjung Lipis, jadi saya boleh tawar harga lebih rendah berbanding pasaran. Kalau jual mahal nanti ramai orang tak dapat makan musang king.
“Bagi buah yang dijual mengikut timbangan pula, harganya tidak sampai RM20 sekilogram sedangkan ada tempat lain menjual antara RM25 hingga RM30 sekilogram,” ujarnya.
Katanya, ini merupakan kali pertama dia membuka jualan di premis Durian Kingdom yang terletak di tengah bandar Lipis dan sambutan diterima amat menggalakkan dengan jualan mencecah sehingga satu tan sehari.
“Musang king RM5 dan RM10 sebiji paling laris. Setiap hari kami bawa buah baru dari kebun, tiada stok lama atau buah disimpan. Sekarang bukan musim durian kampung, jadi orang ramai yang mahu menikmati durian boleh memilih musang king pada harga lebih murah,” katanya.
















