HOUSTON – Penyerang Belanda, Cody Gakpo memberi amaran kepada seluruh pasukan Belanda khususnya pemain di benteng pertahanan untuk memberikan fokus penuh menjelang aksi menentang Sweden di Stadium Houston awal pagi esok.
Kebimbangan penyerang Liverpool itu menjurus kepada ancaman yang mampu diberikan rakan sekelabnya, Alexander Isak yang dilihat berada pada tahap kecergasan terbaik dan mula konsisten menghasilkan jaringan.
Isak mengharungi musim lalu di Anfield dengan penuh kekecewaan apabila dibelenggu masalah kecederaan, namun kembali ke prestasi terbaik bersama Sweden dengan meledak gol pada aksi pertama ketika membenam Tunisia 5-1 sebelum ini.
“Pada penghujung musim dia sudah cergas, menjaringkan beberapa gol dan bermain dengan baik. Sudah tentu dia memulakan kejohanan ini dengan sangat baik menerusi prestasinya.
“Saya rasa semua orang tahu betapa hebatnya dia sebagai pemain. Jadi kami perlu memberi perhatian khusus kepadanya,” katanya.
Gakpo mengakui Belanda perlu meraih kemenangan selepas seri 2-2 dengan Jepun dalam perlawanan pembukaan mereka, namun menolak dakwaan bahawa pasukan itu berada di bawah tekanan tambahan menjelang pertemuan dengan Sweden.
Barisan serangan Sweden yang diketuai Isak dan Viktor Gyokeres tampil cemerlang ketika menentang Tunisia menyebabkan bahagian pertahanan Belanda perlu mencari jalan terbaik mengekang asakan gandingan tersebut.
“Kami tahu bahawa kami perlu memenangi perlawanan kerana kami mahu mara melepasi peringkat kumpulan. Sudah tentu keputusan Sweden sangat baik untuk mereka, tetapi kami perlu melihatnya secara berasingan dan fokus kepada diri sendiri serta perkara yang boleh kami perbaiki,” jelasnya.
Tambahnya, Belanda mengambil pengajaran daripada perlawanan pembukaan ketika menentang pertahanan Jepun yang berdisiplin, khususnya dalam usaha menembusi ruang yang sempit. – AGENSI














