fbpx
Saarani (tengah), bergambar bersama pengunjung dan penganjur pada Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di Selama, hari ini. Foto oleh WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

MB Perak umum RM700,000 peruntukan naik taraf infrastruktur di Selama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LARUT – Kerajaan Negeri Perak meluluskan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM700,000 bagi melaksanakan dua projek infrastruktur utama di daerah Selama, sebagai usaha meningkatkan kemudahan awam serta keselesaan penduduk dan pengunjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf bahu jalan serta sistem perparitan di kawasan Pasar Pagi Sungai Bayor yang menjadi antara tarikan utama pelancongan dan pusat ekonomi rakyat di daerah berkenaan.

“Sebagai komitmen sokongan yang berterusan, saya dengan sukacitanya mengumumkan kelulusan peruntukan Marris sebanyak RM500,000 untuk menyelenggara dan menambah baik bahu jalan serta longkang bagi meningkatkan keselesaan pengunjung dan penjual di Pasar Pagi Sungai Bayor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di sini hari ini.

Menurut Saarani, projek itu bertujuan menambah baik aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung serta peniaga yang hadir ke pasar berkenaan setiap minggu.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kelulusan tambahan RM200,000 bagi kerja-kerja penggantian sebuah jambatan uzur di Kampung Tanjung Lengkong, Mukim Ulu Selama.

Katanya, projek tersebut penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat serta kelancaran perhubungan penduduk kampung yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

“Peruntukan sebanyak RM200,000 ini akan digunakan bagi menggantikan jambatan yang telah rosak demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Menurut beliau, keseluruhan peruntukan yang diluluskan menerusi dana Marris bagi kedua-dua projek tersebut berjumlah RM700,000.

Pasar Pagi Sungai Bayor sebelum ini mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak 2.32 kilometer, sekali gus menjadi produk pelancongan dan ekonomi penting bagi daerah Selama.

Pasar itu menghimpunkan ratusan peniaga dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang serta menerima ribuan pengunjung setiap minggu.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau turut menyifatkan pembangunan berterusan di Selama sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuhkan sektor pelancongan luar bandar dan mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN