AMPANG JAYA – Tiga kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire musnah dalam kebakaran di kawasan parkir pasar raya Lotus di Jalan Pandan Prima, Dataran Pandan Prima di sini malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.27 malam.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bersama bantuan BBP Ampang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan yang diparkir di kawasan tersebut.
“Sebuah Toyota Vellfire musnah sepenuhnya, manakala sebuah BMW dan sebuah Honda masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Katanya, seramai 14 anggota bersama dua jentera pemadam kebakaran digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada pukul 8.43 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














