MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas komoditi rokok, minuman keras dan sisa elektronik (e-waste) bernilai keseluruhan lebih RM13 juta dalam tempoh kurang sebulan menerusi empat serbuan berasingan.
Pengarahnya, Roslan Yusoff berkata, rampasan terbesar membabitkan tujuh kontena membawa rokok dan minuman keras bernilai RM10,352,391.72 yang dalam perjalanan ke pelabuhan di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta beberapa negara luar.
Menurutnya, hasil semakan dalam sistem JKDM mendapati kesemua kontena berkenaan berstatus ‘transhipment’, namun gagal membuat pengikraran manifes dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pada 18 Mei lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka telah menahan dan menyita tujuh kontena yang mengandungi 8,820,000 batang rokok serta 65,614.80 liter minuman keras.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena itu dibawa masuk dari negara luar ke Pelabuhan Klang, Selangor pada penghujung April lalu sebelum dijadualkan dihantar ke pelabuhan di Kuching dan Labuan serta beberapa negara luar,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan JKDM Melaka, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas rokok, minuman keras dan sisa e-waste dalam tiga serbuan berasingan dengan nilai keseluruhan RM3,070,581.40.
Katanya, pada 23 dan 24 April lalu, pasukan penguat kuasa menyerbu dua premis di Seberang Perai, Pulau Pinang dan sebuah premis di Baling, Kedah sebelum menyita rokok serta minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1,530,222.20.
“Kesemua barangan tersebut dirampas selepas didapati tidak mempunyai setem cukai kastam, manakala sebahagian minuman keras pula menggunakan label ‘imported’.
“Pada 7 dan 8 Mei pula, kita merampas sisa e-waste bernilai RM1.25 juta dipercayai dari Korea yang dibawa dalam lima kontena di Pelabuhan Klang dan diikrarkan sebagai paip besi karbon, batang besi, rel keluli aloi, bar keluli aloi serta barangan ferus yang mengandungi besi,” katanya.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, sebuah Toyota Vellfire turut ditahan di Plaza Tol Ayer Hitam pada 8 Mei lalu dan pemeriksaan menemukan 249,000 batang rokok tanpa setem cukai kastam bernilai RM290,359.20.
Menurut Roslan, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.-KOSMO! ONLINE














