PASIR PUTEH – Sindiket gagal menyeludup sebanyak 50 karton berisi 240,000 batang rokok bernilai RM162,000 termasuk cukai selepas kegiatan kumpulan tersebut ketika mengangkut kesemua barangan seludup itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sebuah jeti di Kampung Penambang, Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Kesemua rokok itu ditemui ditinggalkan di kawasan jeti dan di dalam tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) kira-kira pukul 10.22 malam menerusi Op Naga 1/2024, Op Damai Siri 33/2026, Op Pelantar Merah 3/2023 dan Op Tiris 4.0.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, pihaknya mengesan sebuah bot yang bergerak dalam gelap di sekitar Sungai Kelantan sebelum hilang apabila melalui kawasan sempit kira-kira pukul 9 malam.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut menjumpai tiga buah MPV jenis Perodua Alza, Proton Exora dan Nissan Grand Livina yang turut dipenuhi dengan kotak berisi rokok seludup. Sindiket yang terlibat dalam kes ini dipercayai terdiri daripada warga tempatan. Modus operandi sindiket penyeludupan sentiasa berubah-ubah termasuk menggunakan lokasi pendaratan berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan memindahkan barangan tanpa cukai. – KOSMO! ONLINE














