WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) semalam bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Di bawah perjanjian itu, Tehran bersetuju untuk mengurangkan simpanan uranium diperkayanya sebagai pertukaran kepada kelonggaran sekatan ekonomi berskala besar.
Menurut seorang pegawai AS kepada agensi berita AFP, Presiden AS Donald Trump menandatangani dokumen tersebut semasa majlis makan malam bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Versailles, sejurus selepas tamatnya Sidang Kemuncak G7.
“Baru sahaja menandatanganinya,” kata Trump kepada pemberita ketika beliau keluar dari istana tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, yang dipetik oleh agensi berita negara IRNA, berkata dokumen itu “telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden.”
Perjanjian itu bertujuan untuk menamatkan perang yang dilancarkan pada 28 Februari oleh AS dan Israel, yang mendorong Iran untuk menyerang balas dengan bedilan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau tersebut serta menutup Selat Hormuz, laluan air yang sangat penting bagi ekonomi dunia.
“Kini masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian ini,” kata Baqaei. – AFP














