KUALA LUMPUR – Kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk anak-anak muda menguburkan impian melanjutkan pengajian kerana pelbagai bentuk bantuan disediakan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kepada pelajar yang memerlukan.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, universiti sentiasa komited membantu pelajar daripada golongan B40, asnaf serta mereka yang berdepan kesukaran termasuk bencana dan kecemasan sepanjang tempoh pengajian.
Menurut beliau, bantuan tersebut disediakan bermula sebelum pendaftaran, ketika proses kemasukan, sepanjang pengajian sehingga pelajar menamatkan pengajian.
“Jangan jadikan kekangan kewangan sebagai pengakhiran cita-cita untuk menuntut ilmu kerana pelbagai bantuan disediakan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“UPNM sentiasa memberi fokus kepada kebajikan pelajar dan bantuan kewangan akan terus menjadi keutamaan universiti. Sampaikan mesej ini kepada ibu bapa supaya mereka tidak bimbang mengenai soal kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Bacaan Ikrar sempena Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Diploma 2026 yang berlangsung di kampus UPNM di sini hari ini.
Seramai 272 pelajar baharu program diploma secara rasmi melafazkan ikrar sebagai simbol komitmen dan kesediaan memulakan kehidupan sebagai warga UPNM dengan menjunjung nilai disiplin, integriti, kecemerlangan dan patriotisme.
Daripada jumlah itu, seramai 146 pelajar mengikuti Diploma Kecergasan Pertahanan, 50 pelajar Diploma Pengurusan Logistik, 44 pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan dan 32 pelajar Diploma Tahfiz dan Tafsir Al-Quran.
Arman Rumaizi berkata, lafaz ikrar yang dibaca bukan sekadar ungkapan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan serta amalan sepanjang tempoh pengajian.
“Ia bukan sekadar kata-kata tetapi perlu difahami, dihayati, dilaksanakan dan dizahirkan melalui tindakan yang sewajarnya.
“Sebagai pelajar, tanggungjawab kamu adalah memberi fokus kepada pengajian dan membina kecemerlangan serta jati diri kerana segala keperluan fasiliti dan akademik diuruskan oleh universiti,” ujarnya.
Menurut beliau, pada Kementerian Pendidikan Tinggi dan UPNM, usaha mendidik bakat masa depan negara tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana mahasiswa merupakan barisan pemimpin yang akan menerajui negara pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














