fbpx
MOHD PUAD

PRN Johor: Mohd. Puad sah tidak pertahan kerusi DUN Rengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.

Menurut beliau, keputusan tersebut telah dibuat sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, faktor usia menjadi pertimbangan utama untuk tidak lagi menawarkan diri sebagai calon selepas lebih empat tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

“Saya kini berusia 69 tahun. Jika terus bertanding dan berkhidmat untuk satu penggal lagi, usia saya akan mencecah 74 tahun.

“Pada saya, tidak sesuai lagi pada usia tersebut untuk bertanding kerusi DUN. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar diberi peluang memimpin barisan muda untuk bertanding dan menerajui kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpandangan calon berusia 50 tahun ke bawah lebih sesuai diketengahkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negeri pada masa depan.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, beliau turut mengemukakan beberapa kriteria calon pelapis yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan parti.

Menurutnya, calon yang dipilih mestilah berkelulusan, berakhlak, komited terhadap perjuangan parti serta memahami hala tuju bangsa.

“Saya harap Datuk Onn Hafiz dapat mempertimbangkan dan melaksanakannya,”katanya.

Beliau berkata, sebelum proses penamaan calon berlangsung, masih terdapat beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dan diberi perhatian.

“Saya menjadi wakil rakyat yang menetap di kawasan selama lebih empat tahun. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit dan amat menghargai sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan saya,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN