MANCHESTER – Manchester United telah memberitahu West Ham United supaya melupakan hasrat untuk meraih untung melampau apabila meletakkan harga yang tinggi bagi melepaskan khidmat pemain mereka, Mateus Fernandes.
United menjadikan Fernandes sebagai sasaran utama mereka pada jendela perpindahan musim panas kali ini selepas menarik diri daripada persaingan untuk mendapatkan pemain tengah Nottingham Forest, Elliot Anderson.
Pemain antarabangsa Portugal itu telah menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Old Trafford susulan penyingkiran West Ham ke Liga Kejuaraan, selain mahu meraih peluang beraksi di Liga Juara-Juara dengan rundingan terma peribadi mungkin tidak menjadi masalah.
Namun, halangan utama dilihat terletak pada nilai perpindahan yang diminta oleh West Ham yang meletakkan nilai Fernandes sekitar £80 juta (RM435.39 juta) dan berharap dapat mencetuskan perang bidaan apabila pemain itu turut menjadi sasaran Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.
West Ham percaya Fernandes adalah pemain muda terbaik dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini dan berpotensi bernilai lebih daripada £100 juta dalam masa terdekat, namun United tidak bersedia untuk memenuhi harga yang diminta itu.
United dijangka mengemukakan tawaran pembukaan mereka minggu ini, tetapi jumlahnya tidak akan mencecah £80 juta menyebabkan peluang untuk kedua-dua pihak mencapai kata sepakat sedikit samar.
Namun, United enggan terburu-buru dan bersedia menunggu masa yang sesuai demi mendapatkan perjanjian yang menguntungkan mereka selepas yakin Fernandes benar-benar berminat untuk berhijrah ke Old Trafford. – AGENSI














