KUALA LUMPUR – Penjualan barangan tiruan terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah rampasan yang direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan nilai mencecah RM6.03 juta sejak Januari hingga Mei lalu.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, sebanyak 31 kes melibatkan pelanggaran di bawah Akta Cap Dagangan 2019 direkodkan dalam tempoh itu sekali gus menyumbang kepada sebahagian besar nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan.
Katanya, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, pihaknya merekodkan 247 kes di bawah akta perdagangan dan kepenggunaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6.74 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 237 kes dibuka membabitkan nilai rampasan RM6.52 juta, manakala 10 lagi diklasifikasikan sebagai kertas inkuiri dengan rampasan RM220,578,” katanya pada program Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-54 peringkat KPDN Kuala Lumpur di sini semalam.
Beliau berkata, selain kes cap dagangan, sebanyak 11 kes dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan RM489,094.20, manakala 125 kes melibatkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, KPDN memeriksa sebanyak 16,543 premis perniagaan di sekitar ibu negara. Sektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah pemeriksaan tertinggi iaitu 8,746 premis, diikuti makanan sedia dimakan (2,708) dan pembekalan (1,718).
Menurut Mohd. Sabri, pihaknya mengeluarkan sebanyak 231 kompaun bernilai RM235,300 termasuk 208 kompaun secara serta-merta berjumlah RM69,300. Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM219,100 bagi 16 kertas siasatan yang diselesaikan.
Mengulas mengenai pengurusan aduan pengguna, katanya, sebanyak 5,457 aduan diterima sejak Januari hingga Mei lalu dengan 5,042 daripadanya berjaya diselesaikan.
Aduan perkhidmatan mengelirukan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,358 kes, diikuti transaksi dalam talian (1,087 kes) dan isu harga (795 kes).
Sementara itu, katanya, Ops Jeriji 2026 yang dilaksanakan KPDN turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pencapaian 120 peratus selepas 24 individu ditahan berbanding sasaran awal 20 orang. – KOSMO! ONLINE














