SERDANG – Festival automotif tempatan terbesar, Perodua vs Proton Day 2026, menyasarkan penyertaan lebih 20,000 kenderaan serta 50,000 pengunjung sepanjang penganjurannya di Tapak Pameran Agro Malaysia Serdang (MAEPS), pada 8 dan 9 Ogos depan.
Acara yang memasuki edisi keempat itu dijangka kembali mencipta rekod tersendiri apabila menghimpunkan ribuan pemilik serta peminat kenderaan nasional dari seluruh negara dalam satu lokasi yang lebih luas dan selesa.
Pengarah Program, Muhammad Syamim Zulkifli berkata, pemilihan MAEPS sebagai venue baharu dibuat bagi menampung peningkatan jumlah penyertaan selepas tiga edisi terdahulu mendapat sambutan luar biasa di Stadium Shah Alam.
Menurutnya, kapasiti lokasi baharu itu mampu menampung kehadiran lebih ramai peserta dan pengunjung berikutan komuniti pemilik Proton dan Perodua yang semakin berkembang dari tahun ke tahun.
“Pada edisi sebelum ini, kita berjaya menghimpunkan hampir 20,000 kenderaan. Jadi tahun ini sasaran kita lebih besar dengan jangkaan kehadiran melebihi 20,000 kenderaan serta puluhan ribu pengunjung,” katanya.
Beliau berkata, program yang dianjurkan oleh S&H Event Automotive & Entertainment itu turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Petronas Syntium selaku rakan pelincir rasmi dan Mr. Absorber sebagai rakan suspensi kenderaan.
Menurut Muhammad Syamim, Perodua vs Proton Day bukan sekadar acara perhimpunan automotif, sebaliknya menjadi platform utama yang menyatukan komuniti pemilik kedua-dua jenama kereta nasional terbesar negara.
Katanya, acara tersebut memberi peluang kepada peminat automotif untuk berkongsi minat, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan sesama komuniti tanpa mengira latar belakang.
“Komuniti Proton dan Perodua di Malaysia sangat besar. Sebab itu kita mahu menghimpunkan mereka dalam satu acara yang boleh menjadi simbol penyatuan peminat kereta nasional,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, festival itu turut menjadi pentas kepada pemilik kenderaan modifikasi mempamerkan kreativiti dan hasil sentuhan masing-masing yang melibatkan pelaburan tinggi serta komitmen berterusan.
Tambahnya, golongan pengubah suai kenderaan dapat menjadikan acara berkenaan sebagai platform untuk mengetengahkan hasil kerja seni dan idea yang diterjemahkan melalui modifikasi unik pada kenderaan masing-masing.
Mengulas lanjut, Muhammad Syamim berkata, lebih 60 kategori pertandingan akan dipertandingkan sepanjang festival berkenaan melibatkan pelbagai segmen modifikasi, persembahan dan penilaian kenderaan.
Acara berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai komuniti dan penggiat industri automotif termasuk HE Official Garage, Street Garage, Budak Kereta Geng Kita dan 3R Wheel.














