PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2.5 juta daripada kontraktor.
Sogokan itu dipercayai sebagai dorongan untuk melantik syarikat-syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen kartel syarikat bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi tersebut.
Menurut sumber, tiga daripada mereka melibatkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat yang direman selama dua hari bermula semalam.
“Seramai 10 lagi suspek direman lima hari sehingga 20 Jun ini selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber berkata, 10 lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan pada pukul 8 hingga 11 malam, Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Katanya, daripada 13 suspek yang direman semalam, lapan daripada mereka adalah penjawat awam, manakala lima lagi orang awam dan pemilik syarikat.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2024 dan 2026.
“Kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan berkenaan,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM melakukan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Sebanyak 25 lokasi termasuk kediaman, pejabat dan premis agensi kerajaan digeledah dan menyita beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM 1.5 juta.
Rampasan turut membabitkan seutas jam tangan mewah, dua buah kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi dan barangan kemas bernilai RM1 juta. Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














