ALOR SETAR – Polis setakat ini merakam keterangan tujuh saksi bagi membantu siasatan kejadian letupan grenad yang mengorbankan dua anggota tentera di lapang sasar Kem Hobart, Gurun dekat sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pihaknya akan memanggil lagi mana-mana individu berkaitan kejadian itu sekiraya perlu untuk siasatan lanjut.
Katanya, ia melibatkan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut termasuk jurulatih dan peserta latihan tersebut.
“Setakat ini kita menjalankan siasatan di bawah kes kematian mengejut dan buat masa ini tiada unsur foul play. Dalam masa sama, pihak tentera juga akan menjalankan siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini malam ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar kejadian dan menghormati ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota tentera maut akibat letupan grenad ketika dalam Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Norazmi adalah daripada Batalion Keenam RAMD, manakala Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD. – KOSMO! ONLINE














