fbpx

Bukan setakat sumbangan wang, Finas bantu artis jana pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bukan hanya sumbangan wang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap dapat membantu penggiat seni yang memerlukan dengan membuka laluan untuk menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, sokongan agensi itu kepada golongan sasaran antara lain adalah dengan mengenal pasti kebolehan serta kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang terutama perniagaan.

“Kunjungan dan sumbangan kepada artis sudah lama dilaksanakan di bawah program Ziarah Seni Madani, juga inisiatif berterusan Finas bersama Kementerian Komunikasi.

“Sebenarnya kita boleh buat pelbagai perkara untuk bantu artis yang memerlukan. Jangan kita hanya bantu apabila mereka berdepan masalah kesihatan.

“Kalau anak seni itu memang dalam dunia keusahawanan, kita cuba bantu cara lain,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada bekas pelakon, Zul Yahya, di sini, hari ini

Menurutnya, Zul yang sebelum ini berdepan kesulitan dalam bisnes diusahakannya mempunyai pengalaman luas sekali gus boleh berkongsi ilmu dengan artis lain.

“Beliau sendiri merupakan seorang yang berkebolehan untuk mengajar rakan seperjuangan yang mungkin ingin belajar untuk berniaga menggunakan platform media sosial.

“Ini juga antara contoh yang kita boleh lakukan sebagai sokongan untuk selebriti ini mendapat rezeki tambahan.

“Sebelum ini pun kita sudah mulakan program membabitkan penggiat seni selaku penceramah, moderator dan sebagainya. Kita tengok mana yang sesuai,” katanya.

Pada masa sama, kata Azmir, berkata pertemuan dengan aktor terbabit juga adalah atas cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

“Pertemuan ini penting sebab kita pun tahu, Zul adalah anak seni berpengalaman. Lebih kurang 15 tahun pengalamannya dalam bidang perniagaan dan sekarang, dia juga aktif di TikTok.

“Zul ada berikan beberapa cadangan, antaranya artis yang ada produk boleh dikumpulkan untuk buat sesi siaran langsung atas talian.

“Mungkin ada anak seni yang ada pengikut, tapi tiada produk. Jadi, kita selaraskan dan lihat bagaimana Finas serta kementerian dapat bantu,” ulasnya.

Terdahulu, tular video Zul meminta bantuan orang ramai selepas keluarganya termasuk tujuh anak terpaksa tinggal sementara di premis kedai makan mereka berikutan isu bil tertunggak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN