JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.
Tertuduh berusia 37 tahun yang juga ibu kepada dua kanak-kanak warga tempatan itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, wanita terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada 7 Jun lalu kira-kira pukul 12 tengah hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan dijalankan susulan kejadian dua beradik terbabit terjun atau terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi.
“Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ab Rahaman, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 15 Jun lalu.
“Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000, namun dia gagal membayar wang jaminan tersebut.
“Suspek kini ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 22 Julai depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














