SACRAMENTO, CALIFORNIA – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh selepas sebuah pesawat pengebom B-52 Stratofortress milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas sejurus berlepas di selatan negeri California, lapor stesen penyiaran BBC.
Kejadian berlaku sekitar pukul 11.20 pagi (waktu tempatan) di Pangkalan Tentera Udara Edwards ketika pesawat sedang menjalankan misi ujian rutin semalam.
Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal naik ke udara sehingga boleh dilihat dengan jelas dari jarak beberapa kilometer.
“Hari ini (semalam), Pangkalan Tentera Udara Edwards mengalami tragedi dahsyat dan kami kehilangan lapan warga Amerika yang hebat,” kata jurucakap pangkalan itu, Kolonel James Hayes.
Menurutnya, kesemua mangsa terdiri daripada anggota tentera, kakitangan awam kerajaan serta kontraktor kerajaan.
Pangkalan Tentera Udara Edwards sebelum ini memaklumkan bahawa tiada yang selamat dalam nahas tersebut berdasarkan petunjuk awal.
“Nahas ini berlaku di landasan Pangkalan Tentera Udara Edwards, menyebabkan semua operasi digantung untuk sementara waktu. Pesawat ini terhempas sejurus selepas berlepas dan terbakar.
“Selepas memeriksa rakaman awal, kejadian ini dianggap sebagai nahas maut,” tambah Hayes.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. Ia boleh mengambil masa sehingga 30 hari.
B-52 Stratofortress merupakan pesawat subsonik jarak jauh yang digunakan oleh tentera AS sejak tahun 1950-an. Ia juga terlibat dalam serangan terbaru AS-Israel ke atas Iran. – AGENSI














