TAIPING – Seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama empat rakannya di kawasan air terjun Waterfall Up String Greeneries Memorial Park, Jalan Tupai, Taman Saga di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 11.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba pada pukul 11.08 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira tujuh kilometer sebelum ketua operasi melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep SAVER.
“Ketua operasi mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap bersama personal flotation device (PFD) dan memasuki kawasan air,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, anggota kemudian menggunakan ‘gripping iron’ sebelum berjaya menemukan mangsa yang timbul di permukaan air selepas pencarian dilakukan di dasar kawasan air terjun.
Menurut Sabarodzi, mangsa kemudian dinaikkan ke tebing menggunakan pengusung sebelum pemeriksaan dilakukan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Operasi terkawal pada pukul 12 engah hari dan tamat sepenuhnya pada pukul 1.08 tengah hari.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














