fbpx
Mohd. Yusoff (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Tiada etnik Rohingya dicekup terlibat kes dadah di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Polis Kelantan mengenal pasti tiada etnik Rohingya dikesan positif dadah selepas dicekup dalam operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini sepanjang 2025 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan lanjut mendapati, etnik tersebut dipercayai tidak terlibat dengan kes dadah kerana faktor kewangan.

“Menerusi tangkapan yang dijalankan, mereka didapati bebas dadah. Kebanyakan daripada mereka memberi alasan bahawa kekangan kewangan yang menyebabkan etnik tersebut tidak mahu mengambil dadah.

“Siasatan lanjut mendapati, golongan tersebut mempunyai kesedaran terhadap penyalahgunaan dadah. Apabila berada dalam keadaan susah, itu yang menyebabkan mereka tidak terjebak dengan dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, berdasarkan rekod, sebanyak 689 kes melibatkan 1,458 individu etnik Rohingya ditangkap melakukan kesalahan jenayah di Kelantan sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,426 individu dicekup melakukan kesalahan imigresen, penyeludupan migran (65), jenayah harta benda termasuk mencuri atau pecah rumah (30) dan jenayah kekerasan (27).

“Siasatan lanjut mendapati, ada etnik Rohingya yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat untuk membawa rakan atau saudara mara mereka ke negara ini.

“Bagi kes jenayah kekerasan pula, kebanyakan daripada etnik Rohingya hanya bergaduh sesama sendiri dan tidak melibatkan masyarakat setempat malah ada yang juga kes membabitkan keganasan rumah tangga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN