fbpx
Ayob Khan memeriksa kawalan kehormatan sempena Majlis Perasmian IPD Iskandar Puteri hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

Integriti, amanah tunjang utama institusi penguatkuasaan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan integriti dan amanah harus menjadi tunjang utama dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.

Ayob Khan berkata, amanah yang dipikul oleh setiap anggota pasukan juga perlu sentiasa dijaga dan tidak boleh dikompromi.

Katanya, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, bangunan atau aset yang canggih, sebaliknya ditentukan oleh tahap integriti dan kejujuran anggotanya.

“Sesebuah organisasi boleh mempunyai pengalaman, kemahiran dan aset yang lengkap, namun jika tiada integriti, semuanya tidak mempunyai nilai.

“Kekuatan sebenar sesebuah organisasi terletak pada kejujuran setiap anggotanya. Jika integriti runtuh, sehebat mana pun kemudahan yang dimiliki, kepercayaan rakyat akan hilang.

“‘Jika kita kehilangan harta, kita tidak kehilangan apa-apa. Jika kita kehilangan kesihatan, kita kehilangan sesuatu. Tetapi jika kita kehilangan karakter, kita kehilangan segala-galanya.’ Itulah pentingnya integriti dan nilai moral dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Ayob Khan, menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi terhadap salah guna kuasa, rasuah atau sebarang bentuk pelanggaran disiplin yang boleh menjejaskan imej pasukan serta kepercayaan masyarakat.

“Jangan sesekali menjadikan pangkat sebagai perlindungan daripada tindakan undang-undang. 

“Sesiapa yang mengkhianati amanah rakyat perlu berdepan tindakan yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata cabaran keselamatan masa kini bukan lagi hanya berdepan jenayah konvensional, sebaliknya ancaman baharu seperti jenayah siber, sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan rentas sempadan dan jenayah transnasional.

Justeru, katanya, pasukan polis perlu terus memperkukuh keupayaan operasi dan penyiasatan menerusi pendekatan yang lebih proaktif, pantas serta berasaskan data bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.

“Aspek keselamatan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara polis dan masyarakat.

“Tanpa sokongan rakyat, usaha pasukan keselamatan tidak akan mencapai tahap keberkesanan yang maksimum. Hubungan antara polis dan masyarakat perlu terus diperkukuh demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN