SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki cedera selepas bergaduh dengan pelajar lain di padang bola Masjid Ubudiah Seksyen 19 di sini, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku pukul 1 petang itu melibatkan dua pelajar sekolah berusia 13 dan 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat bapa kepada salah seorang pelajar terlibat.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu saling mengenali dan belajar di sekolah yang sama. Pergelutan hanya melibatkan mereka serta disaksikan beberapa pelajar lain.
“Mangsa berusia 13 tahun menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’,” katanya hari ini.
Tambah Sarudin ,kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan semua saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE














