LIPIS – “Saya tak sangka pemergiannya begitu cepat. Sebelum keluar rumah, arwah seperti biasa sahaja, tiada sebarang perubahan atau petanda pelik.
Demikian luahan Nor Robaniyah Jahron, 49, selepas kehilangan suaminya, Ismail Lamin, 56, yang maut dalam kemalangan motosikal ketika menyertai konvoi bersama rakan-rakannya menuju ke Cameron Highlands hari ini.
Menurut Nor Robaniyah, arwah yang bekerja di Rapid KL keluar dari rumah mereka di Bandar Sungai Long, Kajang, pada awal pagi sebelum sempat menunaikan solat Subuh di sebuah masjid berhampiran.
“Selepas solat di masjid, dia pulang mengambil motosikal dan terus bergerak bersama kumpulan konvoi. Sebelum keluar rumah, dia cuma bersalam seperti biasa dan saya hanya berpesan supaya berhati-hati di jalan raya.
“Tiada apa-apa yang pelik. Saya dan anak-anak sudah biasa melihat dia keluar menunggang motosikal bersama rakan-rakan, jadi saya langsung tidak terfikir perkara buruk akan berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini hari ini.
Nor Robaniyah berkata, arwah menyertai konvoi motosikal bersama rakan-rakan dari sekitar Lembah Klang melalui jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands namun beliau tidak mengetahui jumlah sebenar motosikal yang terlibat.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia dimaklumkan mengenai tragedi itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas anaknya menerima mesej WhatsApp daripada seorang individu yang menunjukkan kad pengenalan arwah bagi mendapatkan pengesahan waris.
Tambahnya, jenazah suaminya akan dibawa pulang ke Kajang untuk urusan pengebumian selepas semua ahli keluarga berkumpul di sana.-KOSMO! ONLINE














