fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV di kios telekomunikasi di pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak, Khamis lalu.

Lelaki curi beg laptop di Setapak Sentral diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah beg komputer riba milik pekerja sebuah kios telekomunikasi di pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa mendapati beg yang ditinggalkan di atas kerusi di premis tempatnya bekerja telah hilang.

Menurut beliau, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu tidak dikenali dipercayai telah mengambil beg berkenaan sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati beg tersebut mengandungi barangan peribadi, wang tunai serta sebuah komputer riba milik mangsa yang kesemuanya anggaran bernilai RM3,000.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran di Threads yang memaparkan rakaman CCTV seorang lelaki dipercayai mencuri beg milik pekerja kios di Setapak Sentral.

Pemilik hantaran tersebut mendakwa beg yang hilang mengandungi komputer riba, kad pengenalan serta beberapa kad bank milik mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Mengulas lanjut, Annas berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mat Rosli di talian 010-972 2616 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN