PETALING JAYA – Tiada istilah menjaga nama atau imej institusi apabila melibatkan kes salah laku, buli mahupun jenayah seksual di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap laporan yang diterima menerusi media sosial akan dianggap serius serta wajib disiasat dan diambil tindakan segera.
“Usah risau berkongsi apa sahaja kes salah laku, buli apatah lagi jenayah seksual terkait MRSM atau mana-mana IPMA di media sosial. Tiada istilah nak jaga nama, imej. Setiap laporan saya anggap serius dan wajib disiasat, diambil tindakan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, ketika mula dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 2023, beliau menerima banyak aduan mengenai kes buli di MRSM dan beberapa IPMA melalui platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok.
Katanya, situasi itu mendorong beliau melakukan lawatan mengejut atau #Terjah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan institusi terbabit.
“Pada peringkat awal, wujud kecenderungan untuk menutup atau menyorok kes-kes buli, malah ada yang meremehkan perbuatan itu seolah-olah norma biasa kehidupan asrama. Sebagai orang yang pernah berada di asrama, budaya seperti ini wajib dihentikan dan tidak boleh dikompromi,” ujarnya.
Beliau berkata, Mara kemudian mengambil pelbagai langkah tegas termasuk memperkenalkan slogan #YouTouchYouGo bagi memastikan tindakan segera dikenakan terhadap pelaku buli.
Tambahnya, setiap aduan daripada ibu bapa dan pelajar yang diterima melalui media sosial akan disiasat oleh pihak pengurusan Mara dan tindakan sewajarnya diambil tanpa berlengah.
“Jika ada yang menyorokkan kes-kes seperti ini, tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak pentadbir MRSM dan IPMA terbabit,” katanya.
Ujarnya, selepas mengenal pasti antara punca utama penularan budaya buli di asrama, Mara turut melaksanakan projek rintis penempatan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera bagi memperkukuhkan pemantauan dan disiplin pelajar. – KOSMO! ONLINE














