fbpx
Tangkap layar klip video memaparkan kewujudan tumbler yang mempunyai ruang penyimpanan rahsia menyorok vape dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Lembah Klang.

Tumbler sorok vape, AADK seru ibu bapa lebih cakna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyaran ibu bapa agar lebih cakna dengan barangan peribadi dibawa anak-anak mereka berikutan kewujudan tumbler atau botol air yang mempunyai ruang rahsia boleh menyembunyikan barang terlarang seperti rokok elektronik (vape).

Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Siti Mariam Mursidan berkata, biarpun dasar kerajaan terhadap vape masih belum dimuktamadkan, penggunaan peralatan itu dalam kalangan generasi muda terutama golongan pelajar harus terus dibendung.

“Kita sebagai agensi pencegahan berpendapat penggunaan vape perlu disekat (dari awal) kerana penagihan dadah biasanya bermula daripada perbuatan merokok dan vape.

“Ibu bapa kena tahu apa anak mereka buat, bawa. Komunikasi penting, jangan masing-masing asyik dengan gajet sahaja,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah peringkat Terengganu di Bandar Al Wathiqu Billah Shah, di sini hari ini.

Beliau mengulas penularan klip video di media sosial yang memaparkan kewujudan tumbler yang bukan sekadar boleh mengisi air malah mempunyai ruang tersembunyi untuk mengisi barangan larangan termasuk vape dan telefon bimbit.

Seorang pempengaruh mendedahkan penggunaan tumbler tersebut dalam kalangan pelajar sekolah yang nakal dikesan oleh seorang guru sekolah menengah di Lembah Klang.

Siti Mariam berkata, pemantauan ibu bapa tidak bermaksud mengongkong anak remaja mereka tetapi ia pendekatan terbaik bagi membimbing golongan itu agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat termasuk penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, kakitangan AADK juga telah memainkan peranan proaktif mendekati golongan pelajar sekolah seluruh negara agar tidak mencuba aktiviti yang menghampiri dadah seperti merokok dan menghisap vape. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN