GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan, tindakan terhadap sebarang aduan melibatkan salah laku seksual di institusi pendidikan perlu diambil segera tanpa menunggu sesuatu kes menjadi tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, institusi di bawah kementerian itu perlu menjadi ruang yang selamat untuk semua, khususnya murid yang memerlukan perlindungan.
Katanya, tindakan tidak seharusnya hanya diambil selepas sesuatu kes menjadi tular sebaliknya setiap aduan perlu diberi perhatian sebaik sahaja diterima.
“Saya fikir tidak betul juga kalau kita kata tular baru diambil tindakan. Sebenarnya, sebaik sahaja kes itu dilaporkan, (ambil tindakan).
“Apabila ada anak yang mengadu, diganggu secara seksual, ibu bapa mesti ambil tindakan, guru mesti ambil tindakan. Dan ia mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa, dan ia mesti disiasat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular membabitkan guru yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah laku seksual dengan seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Sarawak, selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














