fbpx
Tengku Ahmad Badli Shah pada sidang akhbar selepas program turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras hari ini.

Lebih RM5 juta disalur kepada usahawan pasar tani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Agrobank menjadi antara pemacu utama kejayaan program turun padang institusi kewangan pembangunan (DFI) apabila pembiayaan mikro kepada penjaja dan usahawan pasar tani di seluruh negara kini mencecah lebih RM5 juta.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jumlah itu dicapai hasil kerjasama beberapa DFI yang mendekati peniaga secara langsung di lokasi perniagaan mereka.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Agrobank merekodkan permohonan pembiayaan berjumlah RM2.1 juta, manakala Bank Simpanan Nasional menyumbang lebih RM2 juta.

“Secara keseluruhannya, pembiayaan mikro yang berjaya dikumpulkan menerusi tiga lokasi pasar tani yang telah dilawati kini melebihi RM5 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas program turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras hari ini.

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan selaras dengan saranan Perdana Menteri supaya institusi kewangan dan perbankan pembangunan turun padang bagi menyantuni peniaga kecil.

Beliau berkata, Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri merupakan lokasi ketiga siri jelajah berkenaan selepas Pasar Tani Taman Melawati dan Pasar Tani Kelana Jaya.

Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila Agrobank menerima 78 permohonan pembiayaan bernilai RM2.1 juta dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas skim khas itu diperkenalkan.

“Ini menunjukkan usahawan mikro memerlukan akses kepada maklumat kewangan dan pembiayaan yang lebih dekat dengan lokasi perniagaan mereka,” katanya.

Tambah beliau, Agrobank menyasarkan 1,000 permohonan pembiayaan daripada penjaja pasar tani menerusi kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan memandangkan terdapat kira-kira 5,000 peniaga pasar tani di seluruh negara.

Selain pembiayaan, Agrobank turut menyediakan latihan pengurusan kewangan, pemasaran, pentadbiran perniagaan serta perlindungan takaful bagi membantu meningkatkan daya saing usahawan mikro.

Beliau berkata, siri jelajah itu akan diteruskan sehingga hujung Julai dengan satu lokasi pasar tani dipilih setiap minggu bagi memperluaskan akses kewangan kepada lebih ramai peniaga.

Untuk rekod, Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri yang mempunyai 70 peniaga di 98 lot perniagaan dan menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu dipilih sebagai lokasi program kerana peranannya sebagai antara pasar tani aktif di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN