KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang dia tunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan 1/18A, Taman Mastiara di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lori jenis Hino tersebut dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang membelok ke kiri ke laluan yang sama sebelum berlaku pergeselan antara motosikal dan lori berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sampel air kencing pemandu lori telah diambil untuk ujian saringan, manakala ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) yang dijalankan didapati negatif.
Katanya, polis kini sedang melengkapkan siasatan dan memohon mana-mana pemilik premis atau orang awam yang mempunyai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














