PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Chean Chung menerusi hantaran di Facebook berkata, keputusan itu dibuat selepas 18 tahun menyertai PKR dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat parti.
Bagaimanapun, dia menegaskan masih kekal sebagai ahli PKR selain akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.
“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti.
“Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Menurut Chean Chung, tuntutannya mudah iaitu mahu parti memberikan penjelasan munasabah selepas akses kepada sistem MyKhas bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya yang diwakilinya dibatalkan pada 29 Mei lalu.
Dakwanya, pembatalan itu menyebabkan pihaknya tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.
Dia turut mengimbas perjalanan politiknya sejak 2008 termasuk berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Pejabat Ketua Pembangkang, memenangi kerusi DUN Semambu pada 2013 serta terlibat dalam gerakan #KitaLawan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Chean Chung berkata, selepas meletakkan jawatan parti, dia akan menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen atas kapasiti ahli biasa untuk menyemak imbang kerajaan.
Katanya, tumpuan turut diberikan bagi memastikan beberapa rang undang-undang reformasi bulan ini termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Akta Kebebasan Maklumat dibentang serta diluluskan. – KOSMO! ONLINE














