KEMAMAN – Dua nelayan dikhuatiri hilang sementara seorang rakannya terselamat selepas bot dinaiki mereka karam dalam ribut, di perairan Kemaman, dekat sini, semalam.
Dua nelayan yang hilang dalam insiden pada pukul 12.30 tengah malam itu ialah Azan Muda, 68, yang juga tekong bot dan Nordin Mohammad, 61.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, seorang lagi mangsa, Mahadi Jusoh, 51, diselamatkan sekumpulan nelayan lain sebelum dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang pada pukul 10.30 pagi.
“Sebelum kejadian, ketiga-tiga nelayan tersebut keluar menangkap ikan pada pukul 11.30 pagi, kelmarin sebelum bot mereka dipukul ribut pada pukul 12.30 tengah malam, semalam.
“Laporan polis berhubung insiden itu hanya dibuat mangsa terselamat (Mahadi) pada pukul 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini malam ini.
Mohd. Razi berkata, bot nelayan tersebut dipercayai tenggelam pada kedudukan kira-kira 51.67 kilometer dari perairan Kemaman dekat sini.
Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kemaman, Abdul Halim Hamzah berkata, Bot Penggalang 16 diatur gerak ke lokasi kejadian untuk pencarian kedua-dua mangsa. Bagaimanapun, operasi pencarian dihentikan sementara dan akan disambung esok pagi berikutan cuaca buruk dan laut bergelora yang menyukarkan operasi. KOSMO! ONLINE














