fbpx
Beberapa warga asing melepak di kaki lima kedai ketika tinjauan di Flat Pandan Mewah A7-A12, Ampang malam kelmarin.

‘Otai’ Rohingya malu perangai anak buah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Komuniti Rohingya di negara ini berharap rakyat Malaysia tidak menghukum secara membabi buta hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir etnik tersebut termasuk berniaga tanpa lesen yang sah.

Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali berkata, kebanyakan Rohingya yang lama menetap di negara ini hanya mahu mencari rezeki secara halal dan hidup aman bersama keluarga masing-masing.

Katanya, tindakan segelintir etnik itu membuka kedai runcit atau menjalankan perniagaan secara tidak sah tidak sepatutnya menyebabkan seluruh komuniti dipandang serong.

“Tidak semua buat salah, jadi saya harap orang Malaysia tidak marah kepada Rohingya. Kalau ada yang buat salah, ambil tindakan terhadap mereka. Kami juga tidak setuju jika ada yang berniaga tanpa lesen atau langgar undang-undang.

“Perkara itu memang perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Yusof mengakui ramai etnik itu mengusahakan perniagaan seperti kedai runcit menggunakan lesen Ali Baba.

“ Ada yang berniaga dari rumah, kebanyakan barang yang dijual adalah dari Burma (Myanmar) dengan bekalan diambil dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Saya pernah menasihatkan mereka, tetapi masih berdegil. Kebanyakan mereka ini berada di Malaysia kurang daripada 10 tahun,” ujarnya.

Yusof menganggarkan terdapat 150,000 etnik Rohingya mendapat perlindungan di negara ini dan majoriti mereka tidak melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Kami yang sudah 20 hingga 40 tahun berada di Malaysia pun takut nak buat salah dan langgar undang-undang. Ramai dalam kalangan kami sudah berkeluarga. Anak-anak membesar di Malaysia dan saya sendiri sudah tinggal di sini sejak 36 tahun lalu,” katanya.

Lelaki itu mengakui terdapat segelintir Rohingya yang mengambil kesempatan di atas kebaikan rakyat Malaysia sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Ada yang tidak hormat undang-undang dan tidak menghargai layanan baik rakyat Malaysia. Perkara seperti ini memang memalukan kami,” katanya.

Menurut Yusof, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani pelbagai masalah yang timbul.

Sementara itu, Pengerusi Rohingya Pokok Sena, Horumullah Ahmad Hussein berkata, golongan tersebut yang lama menetap di Malaysia lebih mematuhi undang-undang serta menghormati masyarakat tempatan.

“Kami cari makan dan tidak mahu menimbulkan masalah kerana kami hanya menumpang di negara ini atas faktor keselamatan,” katanya yang sudah berada di Malaysia sejak 2006.

katanya, masyarakat Rohingya yang tinggal di kawasan kampung sentiasa berusaha menjaga hubungan baik dengan penduduk termasuk melalui aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Horumullah berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana etnik tersebut yang melakukan kesalahan.

“Kalau ada orang Rohingya buat hal tolong ambil tindakan. Disebabkan dua, tiga orang (buat salah), nama Rohingya jadi busuk. Tutup kedai yang orang Rohingya buka, mereka tiada lesen mungkin pakai lesen Ali Baba,” dakwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN