MENGOTAKAN janji menyembuhkan rindu dengan deretan lagu hit, konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal Di Malaysia yang berlabuh di Unifi Arena Bukit Jalil pada 6 Jun lalu masih berbekas di hati penonton.
Tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara, magis band legenda Indonesia, Dewa 19 nyata masih kental dalam sanubari peminat di negara ini yang dibuktikan dengan kehadiran lebih 10,000 penonton.
Kali terakhir beraksi di lokasi sama sekitar September 2023, kedatangan kali ini tidak dilepaskan Baladewa dan Baladewi yang tiba di stadium tertutup tersebut seawal pukul 5 petang.

Karya agung
Biarpun kumpulan pujaan mereka hanya muncul tepat 9.50 malam, repertoire dendangan yang dipersembahkan akhirnya meredakan gelora jiwa yang menunggu agak lama.
Apatah lagi kumpulan diterajui Ahmad Dhani itu sekali lagi membuktikan karya agung mereka melekat di sukma biar berulang kali dialunkan, malah lebih istimewa mampu menyatukan generasi lama dan baharu.
Bagai menanti pujaan hati, sorakan bergema sebaik lampu pentas dinyalakan menandakan kemunculan band kesayangan yang memanaskan panggung dengan lagu Cinta Gila daripada album Laskar Pelangi terbitan 2004.
Menggayakan jaket camouflage diacu topi gaya victorian, komposer merangkap pengasas kumpulan itu kemudian berduet dengan seorang lagi vokalis Dewa 19, Virzha menyampaikan lagu Pangeran Cinta.

Ello bikin ‘cair’
Sebelum mengalunkan lagu cinta dibalut dengan simbol perjuangan kebangsaan berjudul Perempuan Paling Cantik Di Negeri Ku Indonesia, Virzha juga penyanyi asal Aceh itu menyampaikan pesanan daripada pemain dram mereka, Tyo Nugros yang tidak dapat menyertai konsert berkenaan.
Namun kekecewaan penonton khususnya wanita terubat apabila posisi pemuzik kegilaan ramai itu digantikan anak Ahmad Dhani iaitu Al Ghazali.
Menggandakan lagi keterujaan, kemunculan seorang lagi vokalis Dewa 19, Ello yang membuatkan ramai Baladewi ‘cair’ terutama ketika lelaki berusia 43 tahun itu spontan mengikat rambutnya.
Selain Virzha dan Ello, formasi band ikonik asal Jakarta itu turut disertai vokalis senior, Ari Lasso yang mendendangkan lima lagu termasuk karya yang dikatakan menjadi penguat semangat ketika melawan kanser iaitu Satu.
Secara keseluruhan, sebanyak 26 lagu dialunkan keempat-empat vokalis secara bergilir dengan Separuh Nafas menjadi penutup tirai persembahan tepat pukul 12 tengah malam.
Antara seleksi yang membuatkan khalayak menyanyi bersama tanpa perlu dipelawa serta berdansa mengikut rentak adalah Dewi, Aku Milikmu, Kirana, Cukup Siti Nurbaya, Roman Picisan, Risalah Hati, Kangen dan tidak ketinggalan Madu Tiga.

Perayaan nostalgia
Dalam kemeriahan perayaan nostalgia, nama seorang lain figura yang sinonim dengan band berkenaan, Once turut disebut peminat. Rindu barangkali dengan vokal serak basahnya.
Di pertengahan persembahan, mereka perkenalkan Javir Parisi iaitu seorang artis tribute asal Argentina yang wajah, gaya, suara dan penampilannya persis penghibur legenda, John Lennon.
Biarpun terdengar desahan tentang signifikan adanya kemunculan Javir Parisi, Dhani serta rakan-rakannya barangkali sengaja mahu menyuntik warna dalam konsert kali ini.
Sebelum itu, rakan seperjuangan mereka, Padi Reborn lebih dahulu menghiburkan khalayak dengan 11 dendangan termasuk lagu berhantu Semua Tak Sama, Menanti Sebuah Jawaban dan Begitu Indah.
Cuma selepas itu ada penonton menyuarakan rasa kurang puas hati dalam media sosial, mendakwa mereka ‘kena sidai’ selepas aksi band berusia tiga dekad itu hanya berakhir kira-kira pukul 9.40 malam.
Bagaimanapun, bagi mereka yang membesar dengan lagu Padi Reborn pastinya menyifatkan persembahan disajikan pada malam itu satu bonus kerana dapat menikmati aksi live dua band hebat dalam sebuah acara.
Apa pun, saat konsert Dewa 19 melabuhkan tirai, sebahagian besar penonton sudah mencongak tarikh konsert seterusnya dan berharap mereka akan kembali lagi.
Bahkan, muncullah walau setiap tahun pun, kesetiaan Baladewa dan Baladewi di negara ini tetap ampuh malah tidak keterlaluan dikatakan konsert direalisasikan Icon Entertainment sekali lagi bikin cinta Dewa 19 tertinggal di Malaysia.















