PADANG BESAR – Impian seorang murid berusia 12 tahun untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kini kian kabur selepas disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD) akibat didakwa menjadi mangsa buli di sekolah.
Murid perempuan tahun enam sebuah sekolah di sini tidak lagi menghadiri sesi persekolahan sejak Februari lalu dan masih menjalani rawatan susulan bagi memulihkan keadaan fizikal serta emosinya.
Ibunya, Norasikin Hasin, 32, berkata, anak sulungnya itu sebelum ini sering bercakap mengenai hasrat untuk memasuki MRSM atau sekolah berasrama penuh selepas tamat persekolahan rendah.
“Anak saya pernah cakap, ‘Ibu, kakak rasa kakak nak masuk MRSM atau sekolah asrama penuh, tapi kakak sudah empat bulan tidak dapat ke sekolah. Macam mana kakak nak bahagiakan ibu dan abi?’
“Bila dengar dia cakap macam itu, saya terus menangis. Sebelum ini dia memang seorang anak yang rajin belajar dan sentiasa bercakap mengenai cita-citanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Norasikin, perubahan ketara pada anaknya mula disedari selepas murid itu pulang dari asrama sekolah pada Februari lalu dengan mengadu sakit belakang sebelum tidur terlalu lama dan sering mengadu sakit pada bahagian belakang badan.
Katanya, pada 16 Februari lalu dia ternampak kesan lebam pada tubuh anaknya dan ketika dalam perjalanan ke hospital, mangsa akhirnya menceritakan perkara sebenar yang berlaku di sekolah.
Norasikin berkata, anaknya mengaku sering dibuli beberapa rakan sekelas yang didakwa memaksanya menyiapkan tugasan sekolah selain memulaukan dan menghasut murid lain supaya tidak berkawan dengannya sejak tahun tiga.
Menurutnya, kejadian menjadi lebih serius apabila seorang daripada pelajar terbabit didakwa menarik kerusi ketika mangsa mahu duduk sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang badan.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat perubahan pada kedudukan tulang belakang mangsa sebelum dia dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut.
“Sehingga hari ini dia masih trauma. Ada masanya dia menjerit, menangis dan membaling barang kerana terbayang wajah individu yang membulinya selain sebahagian kaki dan tangan kebas serta tiada rasa sakit walaupun dicucuk jarum,” katanya.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya telah menerima laporan dan kes telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ringan.- KOSMO! ONLINE














