fbpx
Antara motosikal yang disita berikutan melakukan pengubahsuaian secara ekstrem.

Kos ubah suai motosikal ekstrem cecah RM18,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang menelan belanja sehingga RM18,000 semakin membimbangkan kerana melibatkan komponen penting sehingga menjejaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara modifikasi yang dikesan adalah menanggalkan brek belakang, menggunakan tayar sotong, menukar enjin, memasang ‘swing arm’ panjang, mengubah suai ekzos dan sistem kawalan enjin.

Menurutnya, perkembangan itu menyebabkan JPJ memperhebatkan pelaksanaan Op Motosikal (Extreme) di seluruh negara dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan yang diubah suai secara tidak sah.

“Berdasarkan operasi yang dibuat, terdapat penunggang motosikal berusia 12 tahun yang ditahan, tapi kebanyakan mereka berusia 18 hingga 30 tahun.

“Paling tinggi kos ubah suai motosikal yang disita setakat ini adalah RM9,000. Kos ubah suai motosikal paling rendah adalah sebanyak RM5,000 dan boleh mencecah sehingga RM18,000,” katanya pada sidang akhbar Op Extreme, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengubahsuaian melampau itu meningkatkan risiko kemalangan kerana mengubah spesifikasi asal yang ditetapkan oleh pengeluar.

Katanya, lebih 60 peratus kemalangan maut di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Statistik tersebut jelas menunjukkan golongan (penunggang) tersebut masih menjadi pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada risiko kecederaan serius dan kehilangan nyawa akibat kemalangan,” ujarnya.

Muhammad Kifli berkata, berdasarkan statistik JPJ, sebanyak 848,885 notis JPJ(P)22 dikeluarkan pada 2024, diikuti 711,722 notis pada tahun lalu.

“Setakat Mei lalu, sebanyak 252,118 notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Bermula 2021 hingga Mei lalu, sebanyak 38,959 motosikal disita untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“JPJ juga mendapat izin mendakwa pesalah lalu lintas di bawah Seksyen 42 APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN