KOTA TINGGI – Rutin harian seorang nelayan bertukar cemas apabila pukat yang dilabuhkannya menaikkan satu tengkorak manusia di perairan Sedili, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 8.10 malam kelmarin.
”Siasatan awal mendapati tengkorak itu ditemui oleh seorang tekong bot berusia 44 tahun pada pukul 3 pagi, 6 Jun lalu di kedudukan koordinat N: 01.53.000 E: 103.25.000 sebelum diserahkan kepada polis.
”Hasil pemeriksaan Pegawai Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi, Dr. Zubair Abdul Razak mengesahkan tengkorak tersebut dipercayai milik seorang lelaki dewasa berusia lingkungan 20 hingga 30 an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM).
Tambahnya orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Kuala Sedili, Sarjan Mejar Mohammad Aizat Ahmad di talian 018-2464667.-KOSMO! ONLINE














