NILAI – Seorang ibu tunggal menggunakan kemahiran mengait dimilikinya untuk mencari rezeki meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk mendapatkan jualan purata RM500 sebulan di pasar malam.
Usahawan dari Pahang, Noor Azlina Minai, 47, berkata, seni kait atau crochet menjadi ruang rezeki melalui kemahiran yang diasah sejak bertahun lalu.
Katanya, dia mempelajari teknik crochet selepas melihat rakan-rakannya mengait pada waktu lapang.
“Lama-kelamaan ia menjadi perniagaan di bawah jenama sendiri, MadeByInaMinai. Saya mula berniaga pada 2024 menjual pelbagai produk crochet seperti bunga hiasan, rantai kunci dan amigurumi yang mendapat sambutan.
“Seminggu saya dapat hasilkan 15 unit produk bergantung kepada saiz dan corak. Benang dan aksesori diperoleh daripada pembekal dan secara online,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Nilai di sini, baru-baru ini.
Menurut Noor Azlina, dia memilih pasar malam kerana dengan dengan rumah selain mudah memperkenalkan produknya kepada masyarakat setempat.
Tambahnya, dia mampu mendapat RM300 sehari pada waktu tertentu, namun secara purata dia memperoleh RM500 sebulan.
“Persaingan harga lebih murah merupakan halangan terbesar. Saya mengutamakan kualiti dan kekemasan supaya pelanggan berpuas hati,” katanya yang turut mempromosikan jualan di media sosial.
Ujar Noor Azlina, dia bercadang untuk mengembangkan perniagaannya meskipun ia belum mampu menjadi sumber utama pendapatannya ketika ini.
“Saya ada impian memiliki kedai sendiri suatu hari nanti selain berhasrat mempelajari kemahiran pemasaran digital, fotografi produk dan reka bentuk corak yang lebih kreatif.
“Kepuasan terbesar saya adalah apabila melihat pelanggan gembira dengan hasil kerja yang saya buat. Ia memberi semangat untuk saya terus berkarya dan menjadikan minat ini sebagai sumber pendapatan,” katanya.














