KANGAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis masih berfungsi dan menjalankan tanggungjawab seperti biasa meskipun Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu semalam.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, status dewan itu tidak terjejas dan pihaknya masih menantikan perkembangan daripada Pas Pusat berhubung keputusan tersebut.
“Kita masih menantikan perkembangan seterusnya daripada Pas Pusat. Apa-apa boleh berlaku dalam politik, namun buat masa ini fungsi DUN masih berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Pas Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu yang mencetuskan pelbagai persoalan mengenai kedudukan Kerajaan Negeri Perlis yang diterajui Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan semasa politik negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE














