PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di 10 negeri serta Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan meaklumkan amaran yang dikeluarkan itu membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di Semenanjung, kawasan terjejas di Kedah meliputi Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala seluruh Pulau Pinang turut berada dalam zon amaran.
“Turut diramalkan mengalami cuaca buruk ialah Kerian serta Larut, Matang dan Selama di Perak selain Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu,” katanya.
Kata MetMalaysia, bagi negeri Pahang pula, amaran ribut petir melibatkan Raub, Bentong dan Kuantan, manakala di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Tambah jabatan itu, cuaca buruk petang ini juga tertumpu sekitar Negeri (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol) dan Johor (Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Bagi Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Miri termasuk Subis, Miri dan Marudi. Di Sabah, amaran cuaca buruk melibatkan kawasan pedalaman iaitu Beaufort dan Tambunan selain kawasan Pantai Barat meliputi Sandakan (Beluran) serta Kudat (Kota Marudu),” katanya. – KOSMO! ONLINE














