RAUB – Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila rumah yang didiaminya di Felda Tersang 3 di sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pemilik rumah berusia 65 tahun itu bagaimanapun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.58 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dengan bantuan lima anggota dari BBP Sungai Koyan serta seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tersang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki tiga jentera.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal. Anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran hos panjang dengan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.44 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. – KOSMO! ONLINE














